1.1 Pendahuluan
Selepas berkembangnya Islam diseluruh tanah arab khasnya, serentak dengan itu ilmu – ilmu Islam juga turut berkembang dengan pesatnya. Samada ilmu Tauhid, Feqah, Tafsir Hadis dan sebagainya termasuk juga ilmu Faraid. Kerana luasnya penguasaan Islam pada masa itu maka muncullah pandangan dan pendapat yang berbeza dari alim ulama’ ditempat masing – masing begitu banyak sehingga pandangan dan pendapat mereka terbentuk mazhab yang berbagai. Ada pun mazhab yang muktabar dan dibukukan sehingga pada hari ini hanyalah 4 mazhab sahaja iaitu Syaficiy, Malikiy, Hambaliy dan Hanfiy.
Di sisi Islam ilmu yang berkaitan dengan pembahagian harta pusaka dikenali sebagai ilmu faraid. Ilmu ini menjelaskan siapakah antara waris yang berhak menerima harta tersebut selain menetapkan kadar bagi setiapnya dengan nas – nas qatcei dari al – Qur’an dan Sunnah sendiri. Akan tetapi, seperti kebanyakkan perkara setiap kaedah itu ada pengecualinnya. Begitu juga dengan kaedah – kaedah yang terdapat dalam ilmu ini, di mana adanya beberapa kes pengecualian yang tidak mengikut kaedah sehingga memerlukan ijtihad dari kalangan ulama’ untuk menjelaskannya. Oleh sebab itu, berlakunya perselisihan pendapat yang ketara mengenai kes – kes tersebut sehinggakan terdapat 5 pendapat dalam satu masalah.
Kertas kerja ini cuba mendatangkan pendapat – pendapat ulama’ mengenai sebahagian kes pengecualian dalam ilmu faraid. Insya’Allah ianya akan dimulakan dengan pendapat ulama’ dalam membicarakan siapa yang paling layak menerima harta pusaka. Selain mendatangkan contoh kepada kaedah baru yang tidak selari dengan kaedah asal serta sebahagian kes yang istimewa dalam sistem pusaka islam itu sendiri.
2.1 Masalah Umum
Pada membicarakan kes – kes pengecualian dalam ilmu faraid, di sana adanya kes yang umum berkaitan dengan siapa yang paling layak menerima pusaka, selain itu ada kes berkaitan dengan pertambahan pada saham yang dikenali dengan kaedah al ‘Aul. Ada juga yang berkaitan dengan mengembalikan saham pada ashab al – furud ketika tiadanya ashab al – tacsib yang dikenali dengan kaedah al – Rad
2.1.1 Zhawil arham
Ulama’ faraid telah mengkhususkan zhawil arham iaitu dengan makna semua saudaramara terdekat yang tiada difardhukan baginya kadar yang tertentu ataupun juga casabah. Sepertimana dikhususkan untuk ashab al - furud yang mendapat kadar masing yang telah ditetapkan samada di dalam kitabullah ataupun hadith rasulullah s.a.w. manakala ashab al – tacsib pula ialah mereka yang berhak menerima baki selepas semua ashab al – furud mendapat bahagian masing – masing.[1]
Oleh kerana tiada nas qatciy samada dari al – Qura’an mahupun hadith menerangkan yang demikian, maka ulama’ berselisihan pendapat dalam menyatakan bagaimana zhawil arham ini pada masa – masa tertentu layak menerima harta pusaka.
Pendapat Pertama : Zaid bin Thabit mengatakan bahawa zhawil arham tidak boleh menerima harta pusaka dan disokong oleh Ibnu cAbbas, Sacd bin Musayyib, Sacid bin Jabir dan pendapat ini juga diterima oleh Imam Malik, Imam Syaficiy dan juga ulama’ – ulama’ al – Zahiriyyah.
Pendapat Kedua : Adapun kebanyakkan sahabat seperti cUmar, cAli, Ibnu Mascud, Mucaz bin Jabal, Abu Darda’ dan juga Ibnu cAbbas mengikut pendapat yang masyhur sepertimana yang diriwayatkan oleh sekumpulan dari kalangan taabi’in seperti Syurih, Umar Abdul Aziz, dan inilah juga pendapat Iman Abu Hanifah dan juga Imam Ahmad.
.
2.1.2 Al - cAul
Kes yang pertama ialah kes yang berkaitan dengan pertambahan pada asal masalah, tetapi kurangnya pada penerimaan kuantiti harta. Kaedah ini lebih dikenali dengan kaedah al cAul. Al – cAul mengikut bahasanya mempunyai beberapa makna, antaranya zalim atau aniaya. Selain itu, al –cAul juga bermakna mengangkat, seperti mengangkat sesuatu kes kepada perbicaraan hakim. Dan al – cAul juga bermakna penambahan. Adapun istilah disisi ulama’ faraid, al cAul memberi maksud pertambahan pada asal masalah yang wajib, dan kurangnya kuantiti harta yang diperolehi.[2]
Pada hal ini, setiap ashab al - furud tidak akan mendapat saham mereka secara keseluruhan sebagaimana yang telah ditentukan oleh nas. Bahkan berlakunya sedikit kekurangan bila dinisbahkan kepada pertambahan pada asal masalah. Perkara yang pertama perlu dilakukan ialah mendapatkan asal masalah, dan dibahagikan setiap ashab al - furud hak mereka berdasarkan asal masalah tersebut. Kemudian bila dikumpulkan kesemua saham, maka akan terjadilah jumlah keseluruhan saham adalah lebih besar berbanding asal masalah. Maka disini hendaklah dibahagikan harta mengikut jumlah saham dan bukannya mengikut asal masalah..[3]
Orang yang pertama berhukum dengan kaedah ini ialah Sayyidina cUmar r.a. ketika diajukan masalah seorang mati meninggalkan suami dan 2 orang saudara perempuan seibu sebapa. Sekiranya aku dahulukan bahagian suami, nescaya yang lebihnya tidak mencukupi untuk 2 orang saudara perempuan tersebut. Begitu juga jika aku dahulukan bahagian 2 orang saudara perempuan. Oleh yang demikian, Sayyidina al – cAbbas datang memperkenalkan keadah al – cAul dan telah diterima oleh Sayyidina cUmar dengan tiada bantahan oleh sahabat yang lain.[4]
6 | 7 | ||
1/2 | Suami | 3 | 3 |
2/3 | S / perempuan seibu sebapa | 4 | 2 |
S / perempuan seibu sebapa | 2 |
Pada masalah ini, tiada nas yang jelas membenarkan atau menidakan al – ‘Aul, ini kerana al - cAul tidak pernah berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w dan zaman khalifah Abu Bakar r.a. Oleh kerana itu,maka telah berlakunya perselisihan pendapat dikalangan sahabat samada perlu menggunakan kaedah al – cAul ataupun tidak .
Pendapat pertama : Sayyidina cUmar dan cAbbas r.a berpendapat kaedah al - cAul perlu dilaksanakan dalam masalah ini. Begitu juga jumhur fuqaha’ yang bersepakat bahawa kaedah al – cAul perlu digunakan kerana ianya adalah ijmac para sahabat yang berlaku pada zaman Sayyidina cUmar r.a.[5]
Pendapat kedua : Ibnu cAbbas mengatakan pengurangan kepada ashab al – furud hanya boleh berlaku pada kes al – Hajbu dan al – Tacsib sahaja. Contohnya seorang mati meninggalkan suami, ibu, seorang saudara perempuan seibu sebapa dan seorang saudara perempuan sebapa. Maka bagi suami ½, bagi ibu 1/6 dan bagi saudara seibu sebapa dan saudara sebapa berkongsi baki selebihnya.[6]
2.1.3 al – Rad
Seterusnya antara kes yang terkecuali dalam ilmu ini dinamakan dengan al – Rad. Al – Rad dari sudut bahasanya bermakna kembali, atau pulang.[7]
Pada istilahnya al – Rad bererti memulangkan baki saham yang ada kepada ashab al – furud selepas setiap mereka mendapat hak masing – masing dengan syarat tiada waris yang lebih berhak ke atas baki tersebut. Kaedah ini boleh digunakan selepas memenuhi syarat – syarat yang berikut :
1. Wujudnya ashab al – Furud.
2. Adanya baki harta selepas dibahagikan kepada setiap ashab al – furud.
Al – Rad hanya berlaku kepada ashab al – furud melainkan suami dan isteri sahaja yang terkecuali dari kaedah ini meskipun semua syarat di atas telah dipenuhi. Kaedah ini adalah berlawanan sekali dengan kaedah al – cAul. Sekiranya kaedah al – cAul berlaku pertambahan pada asal masalah, dan kurangnya kuantiti harta yang diperolehi, manakala al – Rad pula berlakunya kekurangan pada asal masalah tetapi lebihnya pada kuantiti harta yang diterima.[9] Contohnya si mati meninggalkan ibu, seorang saudara perempuan seibu sebapa,dan seorang saudara perempuan sebapa. Bila dibahagikan mengikut kaedah faraid ibu mendapat 1/6 dari jumlah harta, manakala saudara perempuan seibu sebapa ½ dan saudara perempuan sebapa 1/6. Dengan itu, asal masalah terdiri dari 6. Ibu berhak mendapat 1 bahagian, saudara perempuan seibu sebapa mendapat separuh iaitu 3 bahagian dari harta tersebut manakala saudara perempuan sebapa mendapat 1 bahagian dan kesemuanya 5 bahagian sahaja. Jika sekiranya harta yang ditinggalkan si mati 100, maka hendaklah dibahagikan kepada 5 bahagian sahaja iaitu ibu dan saudara perempuan sebapa mendapat 20 setiap seorang, manakala saudara perempuan seibu sebapa mendapat 60.[10]
6 | 5 | ||
1/6 | Ibu | 1 | 1 |
1/2 | S / Perempuan seibu sebapa | 3 | 3 |
1/6 | S / Perempuan sebapa | 1 | 1 |
Baki | 1 | - |
Berkenaan dengan kaedah al – Radd ini, telah berlaku perselisihan pendapat dikalangan para sahabat, dikalangan tabi’in dan juga dikalangan ulama’ mazhab. Antaranya seperti berikut.
Pendapat pertama : Antara sahabat yang menolak penggunaan kaedah ini ialah Zaid bin Thabit serta beberapa orang dikalangan sahabat. Begitu juga imam Malik, Syaficiy, al – Auzaciy dan Daud al – Zahiriy. Mereka berpendapat bahawa setiap kadar telah ditentukan melalui nas, adapun kaedah al – Rad ini tiada nas yang menjelaskannya. Sekiranya masih ada baki selepas dibahagikan kepada ashab al – furud hak – hak mereka, maka baki harta tersebut hendaklah diserahkan kepada baitulmal.
Pendapat kedua : Sahabat yang menerima kaedah ini antaranya ialah cUthman bin cAffan. Padanya semua ashab al – furud berhak menerima baki harta tersebut termasuklah suami mahupun isteri.
Pendapat ketiga : Adapun pada pendapat Sayyidina cUmar dan juga jumhur sahabat dan tabicin, mereka yang berhak ke atas baki harta tersebut hanya ashab al – furud al – nasabiyyah[11] sahaja.[12]
3.1 Masalah Khas
Selain dari dua kaeadah umum di atas, ada kes – kes tertentu yang perlu diselesaikan dengan tidak mengikut kaedah yang asal dengan sepenuhnya. Kes – kes seperti ini mempunyai nama khas seperti kes al - cUmriyyatain, al – Kharqa’, al – Akdariyyah, al Musyarrakah dan al – Faridah al – Malikiyyah. Disebabkan tiadanya nas - nas qatciy dari al – Qur’an dan Sunnah dalam menyelesaikan masalah – masalah tersebut, maka telah berlakunya perselisihan pendapat yang ketara di kalangan sahabat dan juga ulama’ terkemudian.
3.1.1 al – cUmriyyatain.
cUmriyyatain bermakna kedua – dua cUmar. Masalah ini dinamakan al –cUmriyyatain kerana beliau adalah orang yang pertama menggunakan kaedah ini. Seterusnya diikuti oleh cUthman, Zaid bin Thabit dan juga Ibnu Mascud. Pertamanya seorang mati meninggalkan suami, ibu dan bapa. Manakala masalah kedua seorang mati meninggalkan seorang isteri, ibu dan bapa. [13]
Pada masalah pertama bagi suami ½, bagi ibu 1/3 manakala bagi bapa ‘asabah, asal masalah adalah 6. Ini bermakna suami akan memperolehi 3 bahagian, ibu pula 2 bahagian manakala ayah sebagai ashab al – tacsib memperolehi 1 bahagian. Begitu juga pada masalah kedua, bagi isteri ¼, bagi ibu 1/3 dan bapa menerima casabah dan asal masalah ialah 12. Isteri memperolehi 3 bahagian, ibu 4 bahagian manakala bapa ashab al – tacsib menerima 5 bahagian. Masalah yang timbul dalam kedua – dua kes ini ialah bapa sebagai waris lelaki menerima bahagian yang sedikit berbandaing ibu pada masalah pertama dan tidak sempurna kadar yang sepatutnya iaitu 2:1 pada masalah kedua sebagaimana firmanya.
“Iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan ” [14]
Oleh yang demikian, telah berlakunya perselisihan pendapat dikalangan sahabat dan juga ulama’ – ulama’ selepas mereka kepada beberapa pendapat seperti berikut :
Pendapat pertama : Mengikut pendapat Ibnu cAbbas, dalam kedua – dua kes di atas, ibu berhak memperolehi 1/3 dari keseluruhan harta yang ditinggalkan berdasarkan zahir ayat.[15] Firman Allah s.w.t.
“ maka bahagian ibunya ialah satu pertiga” [16]
Tambahnya lagi, 1/3 yang dimaksudkan pada zahir ayat ialah 1/3 dari keseluruhan harta yang ditinggalkan dan bukannya 1/3 selepas dibahagikan hak suami. Kedudukan ibu dalam kes ini sebagai ashab al – furud manakala kedudukan bapa sebagai ashab al – tacsib yang mana ashab al – tacsib hanya menerima baki selepas ashab al – furud mendapat bahagian masing – masing. Samada baki itu sedikit atau banyak itulah hak sebenar ashab al – tacsib.[17]
6 | |||
1/2 | Suami | 3 | 3 |
1/3 | Ibu | 2 | 2 |
cA | Bapa | 1 | 1 |
Pendapat kedua : Adapun jumhur ulama’ mazhab berpegang dengan pendapat sahabat antaranya Sayyidina cUmar, cUthman, Zaid bin Thabit, dan cAbdullah bin Mascud yang mengatakan ibu menerima 1/3 selepas dibahagikan hak suami supaya bahagian ibu tidak melebihi hak bapa. Seandainya ibu mengambil 1/3 selepas hak suami, maka bapa pula akan memperolehi 2/3 dari harta tersebut dan ini adalah bertepatan dengan mafhum ayat satu bahagian lelaki menyamai dua bahagian perempuan iaitu 2:1[18]. Firman Allah s.w.t.
“jika si mati tidak mempunyai anak, sedang Yang mewarisinya hanyalah kedua ibu bapanya, maka bahagian ibunya ialah satu pertiga.”[19]
Tambahan hujah pendapat ini lagi,mafhum ayat yang mengatakan bahagian ibunya ialah satu pertiga telah didahulukan dengan dua syarat. Pertamanya sekiranya si mati tiada meninggalkan anak. Manakal syarata kedua bila ketiadaan bapa sebagai ahli waris. Sekiranya kedua – dua syarat ini dipenuhi barulah ibu akan memperolehi 1/3 secara sempurna. [20]
6 | |||
1/2 | Suami | 3 | 3 |
1/3 | Ibu | 2 | 1 |
‘A | Bapa | 1 | 2 |
3.1.2 al – Akdariyyah atau al – Kharqa’ ( الخرقاء )
Kes yang seterusnya dinamakan al – Akdariyyah, ataupun juga dipanggil al Kharqa’. Al – Akdariyyah mengikut pendapat Zaid bin Thabit bermakna kekeruhan pada asalnya. Ada pula yang mendakwa dinamakan al – Akdariyyah sempena nama seorang lelaki iaitu Akdar yang mengutarakan kes ini kepada cAbdul Malik bin Marwan dan beliau telah memberi fatwa sebagaimana pendapat Zaid bin thabit.[21] Manakala dinamakan juga al – Kharqa’ yang bermakna kain yang dicarikkan kerana banyaknya perselisihan pendapat mengenainya seolah – olah pendapat – pendapat tersebut telah mencarikkan kaedah asal ilmu ini.[22]
Biar pun makna berlainan, namun apa yang diutarakan adalah satu masalah yang sama. Kes yang dibahaskan ialah seorang mati meninggalkan ibu, datuk dan seorang saudara perempuan seibu sebapa atau sebapa. Pada kes ini, ulama’ bersilisih pendapat dalam menentukan hak datuk dan saudara perempuan seibu sebapa. Ianya terbahagi kepada beberapa pendapat.
Pendapat pertama : Pendapat Sayyidina cUmar, cAli dan Ibu Mascud mengatakan dalam masalah ini ada 2 cara. Pertama bahagian ibu 1/6, s / perempuan seibu sebapa berhak mendapat bahagian sebanyak ½ dan baki dibahagikan kepada datuk sebagai ashab al – tacsib. Adapun cara yang kedua dengan membahagikan kepada ibu 1/3, s / perempuan seibu sebapa ½ dan baki diberikan kepada datuk.
Pendapat kedua : Manakala Abu Hanifah bersepakat dengan pendapat Ibnu cAbbas dan Abu Bakar yang mengatakan bahagian ibu 1/3 dan selebihnya diambil oleh ashab al – tacsib iaitu datuk. Manakala saudara perempuan seibu sebapa tidak menerima apa – apa disebabkan telah disekat oleh datuk.
Pendapat ketiga : Mengikut pandangan sayyidina cUthman, bahagian ibu 1/3 manakala yang selebihnya datuk berkongsi bersama saudara perempuan seibu sebapa.
Pendapat keempat : Lain pula pendapat Ibnu Mascud yang berpendapat bahagikan kepada saudara perempuan seibu sebapa ½ dan selebihnya dikongsi bersama antara ibu dan datuk.[23]
Pendapat kelima :Adapun mengiku jumhur yang mengambil dari pendapat Zaid bin Thabit mengatakan bahagian datuk 1/6, dan saudara perempuan seibu sebapa ½, manakala ibu 1/3. Oleh itu, kes ini terpaksa menggunakan kaedah al – cAul kerana saham melebihi asal masalah. Setelah itu, campurkan bahagian datuk dengan s / perempuan seibu sebapa dan bahagikan mengikut kaedah asal iaitu satu bahagian waris lelaki menyamai dua bahagian waris perempuan.Selepas disahkan, ibu mendapat 6bahagian, datuk mendapat 8 bahagian dan saudara perempuan seibu sebapa mendapat 4 bahagian sebagaimana jadual berikut.[24]
6 | 9 x 3 = 27 | |||
1/2 | Suami | 3 | 9 | 9 |
1/3 | Ibu | 2 | 6 | 6 |
1/6 | Datuk | 1 | 3 | 8 |
1/2 | S / perempuan seibu sebapa | 3 | 9 | 4 |
3.l.3 al – Musyarrakah atau al - Himariyyah
Sebagaimana kaedah asal dalam pembahagikan harta yang ditinggalkan oleh si mati, kita hendaklah mendahulukan ashab al – furud barulah ashab al – tacsib. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :
“ bahagikanlah harta peninggalan itu kepada ahlinya, dan waris lelaki lebih diutamakan pada bakinya.”
Masalah ini dinamakan masalah al – Musyarrakah yang bermakna berkongsi.[25] Ini kerana ianya tidak mengikut kaedah dan berlawanan dengan peraturan asal. Di sebabkan itu, maka telah berlakuketidak sepakatan antara para sahabat, para tabic dan juga para ulama’ mujtahid. Masalah ini berlaku bila si mati meninggalkan suami, ibu, saudara lelaki seibu melebihi seorang dan saudara lelaki seibu sebapa samada seorang ataupun lebih. Suami mendapat ½, ibu 1/6 sebab adanya saudara, manakala saudara lelaki seibu mendapat 1/3 dan saudara lelaki seibu sebapa menerima casabah. Akan tetapi dalam masalah ini ashab al – ta’sib tidak menerima apa – apa bahagian kerana telah dihabiskan oleh saudara lelaki seibu. Oleh yang demikian, telah timbul persoalan apakah saudara lelaki seibu lebih kuat pertalian dengan si mati berbanding saudara lelaki seibu sebapa? Terdapat beberapa pendapat ulama’ pada menentukan hak saudara lelaki seibu sebapa, antaranya :
Pendapat pertama : Mengikut pendapat sayyidina Abu Bakar, cAli, dan Ibnu cAbbas r.a. mereka berpegang pada kaedah yang asal iaitu nasib ashab al – tacsib hanya menerima baki sekiranya ada. Sekiranya tiada baki, mereka tidak akan berkongsi dengan ashab al – furud yang lain. Ini bermakna saudara lelaki seibu sebapa tidak memperolehi apa – apa bahagian sekalipun pertalian mereka dengan si mati lebih kuat berbanding saudara lelaki seibu. Pendekatan ini juga yang diambil oleh mazhab Hanafi dan Hambali.[26]
6 | |||
1/2 | Suami | 3 | 3 |
1/6 | Ibu | 1 | 1 |
1/3 | S / Lelaki seibu | 2 | 1 |
S / Lelaki seibu | 1 | ||
‘A | S / Lelaki seibu sebapa | - | - |
Pendapat kedua : Adapun mengikut pandangan Zaid bin Thabit, Ibnu Mascud dan cUthman r.a. dalam masalah ini saudara lelaki seibu akan berkongsi bahagian mereka bersama saudara lelaki seibu sebapa. Pendapat ini turut menjadi pegangan bagi mazhab Syaficiy dan Malikiy.
6 | 6 x 3 = 18 | |||
1/2 | Suami | 3 | 9 | 9 |
1/6 | Ibu | 1 | 3 | 6 |
1/3 | S / lelaki seibu | 2 | 4 | 2 |
S / lelaki seibu | 2 | |||
S / lelaki seibu sebapa | 2 | 2 |
3.1.4 al – Faridhah al – Malikiyyah
Masalah yang dibincangkan dalam bab ini sekiranya si mati meninggalkan suami, ibu, datuk, seorang saudara lelaki sebapa dan dua orang saudara lelaki seibu. Berdasarkan dengan kedudukan saudara lelaki seibu, mereka berperanan seolah – olah saudara lelaki seibu sebapa sebagaimana pada bab sebelum ini. [27]
Pendapat pertama : Pada pandangan Zaid bin Thabit dan juga Syaficiy, suami memperolehi ½, ibu 1/6, datuk 1/6 dan baki dikongsi bersama antara seorang saudara lelaki sebapa dan dua orang saudara lelaki seibu.
6 | 6 x 3 = 18 | |||
1/2 | Suami | 3 | 9 | 9 |
1/6 | Ibu | 1 | 3 | 3 |
1/6 | Datuk | 1 | 3 | 3 |
‘A | S / lelaki sebapa | 1 | 3 | 1 |
S / lelaki seibu | 1 | |||
S / lelaki seibu | 1 |
Pendapat kedua : Manakala Imam Malik berpendapat bahawa bagi suami ½, ibu 1/6 dan selebihnya diberikan kepada datuk sebagai ashab – al tacsib. Oleh itu, semua saudara seibu dan sebapa tidak mendapat apa – apa bahagian kerana telah dihijabkan oleh datuk sebagai ashab al – tacsib. [28]
6 | ||
1/2 | Suami | 3 |
1/6 | Ibu | 1 |
‘A | Datuk | 2 |
M | S / lelaki sebapa | - |
S / lelaki seibu | ||
S / lelaki seibu |
4.1 Kesimpulan
Segala pandangan dan pendapat ulama’ pada setiap perselisihan merupakan satu kelonggaran dan keringanan kepada umat. Setiap pandangan yang dilontarkan mereka bukan mengikut akal dan hawa nafsu semata – mata, bahkan masing – masing bersandarkan kepada dalil dan nas yang kukuh. Oleh itu, tidak perlu dipertikaikan lagi pandangan – pandangan mereka dalam mengendalikan kes – kes yang terkecuali dalam sistem ini. Seandainya ijtihad mereka bertepatan dengan kehendak syarac, mereka akan mendapat dua ganjaran dan satu ganjaran jika tidak tepat. .
Jika diperhatikan kita akan dapati di sini ada dua pandangan asas yang sentiasa bersalahan antara kedua – duanya. Pandangan pertama yang boleh dikatakan pengasasnya Zaid bin Thabit atau lebih selesa dengan nama pandangan ahli Madinah atau Hijaz. Pandangan ini juga merupakan ikutan atau pegangan kepada mazhab Syaficiy dan Malikiy dalam banyak kes pengecualian melainkan kes al – Faridah al – Malikiyyah. Ada pun pandangan yang sering berlwanan dengan pendapat ini dikenali sebagai pandangan ahli Iraq yang mana mereka ini terdiri dari cAli bin Abi Talib dan juga Ibnu Mascud. Mungkin kerana Imam Abu Hanifah dilahirkan dan dibesarkan di Iraq , maka dia dan Imam Ahmad lebih cenderung kepada pandangan ini.
Sekalipun mereka sentiasa berselisihan dalam menyelesaikan kes – kes pengecualian ini, sehinggakan menyalahi dan terkeluar dari jalan kaedah asal, namun itulah perjuangan yang mereka usahakan demi mendapat keredhaan Allah s.w.t. di samping menyelamatkan umat manusia.
5.1 Penutup
Setiap pendapat dan pandangan ulama’ dalam menjelaskan sesuatu masalah yang tiada nas mengenainya wajar dihargai oleh seluruh umat Islam yang ada pada hari ini. Dengan adanya pendapat dan pandangan mereka, sedikit sebanyak dapat membendung kekeliruan atau perselisihan yang berlaku pada umat mutakhir ini. Sebagaimana diperlukan ijtihad para ulama’ dalam masalah feqah, begitu juga diperlukan ijtihad para ulama’ bagi masalah – masalah baru dalam sistem pusaka Islam supaya tidak berlakunya persengketaan atau dendam antara waris.
Kebanyakkan kes atau masalah yang telah diajukan dalam kertas kerja ini adalah kes – kes yang berlaku pada zaman sahabat r.a. Sewajarnya dikatakan bahawa pandangan – pandangan ini diambil menjadi ukuran dan sumber kepada sistem pusaka yang ada pada hari ini. Pandangan dan pendapat mereka ini bukan untuk dikaji atau dibicarakan didalam kuliah tetapi inilah yang perlu dilaksanakan oleh sesebuah mahkamah atau emerintah.
Ini hanya sebahagian dari kes pengecualian yang terdapat dalam ilmu faraid. Di sana masih ada beberapa kes pengecualian yang tidak sempat dibincangkan dalam kertas kerja yang ringkas ini. Walaubagaimana pun, sekiranya berpeluang, insya’Allah penulis akan kemukakannya. Wallahuaclam.
6.1 Rujukan
Al – Qur’an.
Doktor Abu cAbdullah Hanafi 2007. al – Qamus al –cIlmi al – Khalil, Pustaka Salam, El – Abbasia Cairo.
Abu al – Yaqzan 1976. Hukmu al – Mirath Fi al – Syaricah al – Islamiyyah. Cetakan kedua. Dar al – Hurriyyah lil al – Tabaacah Baghdad .
Husien Yusuf Ghazal 2003. al – Mirath cAla al – Mazhaib al – Arbacah Dirasah wa Tatbiqan. Cetakan pertama. Dar al – Fikr. Damsyik Syria.
Ibnu Qudamah, 1997. Al – Mughnyi wa al – Syarh al – Kabir. Cetakan pertama. Dar al – Fikr, Beirut Lubnan. Jld 7.
Muhammad Abu Zuhrah 1963. Ahkam al – Tirkat wa al – Mawarith. Dar al – Fikri al cArabiy. Qaherah Mesir.
Muhammad cAli al – Sabuniy 2002. al – Mawarith Fi al – Syaricah al – Islamiyyah Fi Dhau’ al – Kitab wa al – Sunnah. Cetakan kedua. Dar al – Sabuniy. Mekah al – Mukarramah.
Muhammad Mustafa Shilbiy 1978. Ahkam al – Mawarith Baina al – Fiqhi Wal Qanun. Dar an – Nahdhah al – cArabiyyah. Beirut Lubnan.
.
Iman al – cAlim Najm al – Huda al – Kalwazaniy 1995. Al – Tahzhib Fi cIlm al – Faraid wal – Wasaya. Cetakan pertama. Maktabah al – cAbikan. Al – Riyadh
Doktor Wahbah al – Zuhaily 1996. al – Fiqh al – Islamiy wa Adillatuh. Dar al – Fikr. Damsyik Syria . Jld 8
[1] Muhammad Mustafa Shilbiy. 1978. Ahkam al – Mawarith Baina al – Fiqhi Wal Qanun. Dar an – Nahdhah al – cArabiyyah. Beirut . Hlm 280.
[2] Muhammad cAli al – Sabuniy 2002. al – Mawarith Fi al – Syaricah al – Islamiyyah Fi Dhau’ al – Kitab wa al – Sunnah. Dar al – Sabuniy. Mekah al – Mukarramah. Hlm 97.
[3] Muhammad Abu Zuhrah 1963. Ahkam al – Tirkat wa al – Mawarith. Dar al – Fikri al cArabiy. Qaherah. Hlm 145.
[4] Husien Yusuf Ghazal 2003. al – Mirath cAla al – Mazhaib al – Arbacah Dirasah wa Tatbiqan. Dar al – Fikri. Hlm 109.
[5] Abu al – Yaqzan 1976. Hukmu al – Mirath Fi al – Syaricah al – Islamiyyah. Dar al – Hurriyyah lil al – Tabaacah Baghdad . Hlm 158.
[6] Muhammad Abu Zuhrah 1963. Ahkam al – Tirkat wa al – Mawarith. Hlm 147.
[7] Muhammad cAli al – Sabuniy 2002. al – Mawarith Fi al – Syaricah al – Islamiyyah Fi Dhau’I al – Kitab wa al – Sunnah. Hlm 104.
[9] . Husien Yusuf Ghazal 2003. al – Mirath cAla al – Mazhaib al – Arbacah Dirasah wa Tatbiqan. Hlm 112.
[10] Muhammad Abu Zuhrah 1963. Ahkam al – Tirkat wa al – Mawarith. Hlm 163.
[11] Ashab al – furud al – nasabiyyah ialah persaudaraan mengikut pertalian darah dan bukannya mengikut ‘akad perkahwinan atau sebagainya.
[12] Muhammad Mustafa Shilbiy. Ahkam al – Mawarith Baina al – Fiqh wal Qanun. Hlm 262.
[13] Doktor Wahbah al – Zuhaily 1996. al – Fiqh al – Islamiy wa Adillatuh. Dar al – Fikr. Damsyik Syria . Jld 8, Hlm 341.
[14] Surah al – Nisa’ ayat 11.
[15] Muhammad cAli al – Sabuniy 2002. al – Mawarith Fi al – Syaricah al – Islamiyyah Fi Dhau’ al – Kitab wa al – Sunnah. Hlm 133.
[16] Surah al – Nisa’ ayat 11.
[17] Muhammad cAli al – Sabuniy 2002. al – Mawarith Fi al – Syaricah al – Islamiyyah Fi Dhau’I al – Kitab wa al – Sunnah. Hlm 134.
[18] Ibid. Hlm 135.
[19] Surah al – Nisa’ ayat 11.
[20] Ibid.
[21] Iman al – cAlim Najm al – Huda al – Kalwazaniy 1995. Al – Tahzhib Fi cIlm al – Faraid wal – Wasaya, Maktabah al – cAbikan. Al – Riyadh . Hlm 75.
[22] Ibnu Qudamah, 1997. Al – Mughnyi wa al – Syarh al – Kabir, Dar al – Fikr, Beirut Lubnan. Jld 7, Hlm 79.
[23] Iman al – cAlim Najm al – Huda al – Kalwazaniy 1995. Al – Tahzhib Fi cIlm al – Faraid wal – Wasaya. Hlm 86.
[24] Doktor Wahbah al – Zuhaily 1996. al – Fiqh al – Islamiy wa Adillatuh. Hlm 342, 343.
[25] Doktor Abu cAbdullah Hanafi 2007. al – Qamus al –cIlmi al – Khalil, Pustaka Salam, El – Abbasia Cairo.Hlm 494.
[26] Muhammad cAli al – Sabuniy 2002. al – Mawarith Fi al – Syaricah al – Islamiyyah Fi Dhau’ al – Kitab wa al – Sunnah. Hlm 75.
[27] Doktor Wahbah al – Zuhaily 1996. al – Fiqh al – Islamiy wa Adillatuh. Hlm 344.
[28] Ibid.
No comments:
Post a Comment